Kehidupan awal Lat

Lat membesar di sebuah kampung.

Mohammad Nor bin Khalid dilahirkan pada jam 10 pagi hari Isnin, 5 Mac 1951 di sebuah kampung di Kota Baharu, Perak, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia). Bapanya ialah seorang kerani kerajaan bersama Tentera Darat Malaysia, manakala ibunya ialah seorang suri rumah.[2] Khalid merupakan kanak-kanak yang bermuka kebulatan, maka beliau diberi nama timangan "Bulat" oleh kaum keluarganya, tetapi kawan-kawannya memendekkan nama itu menjadi "Lat"; maka beliau paling dikenali dengan timangan ini di kampung dan kemudiannya di seluruh dunia.[2][3][4] Lat ialah anak sulung dalam keluarganya.[nb 1] Beliau juga gemar bermain di hutan, dusun dan lombong timah bersama kawan-kawannya.[2][nb 2] Barang mainan mereka biasanya diubah suai dari barang-barang runcit seharian dan bahan-bahan alam.[5] Lat gemar menconteng-conteng dengan bahan-bahan yang diberikan oleh ibu bapanya.[9] Selain itu, beliau juga gemar menghabiskan masa lapang dengan membaca komik dan menonton televisyen; Lat mengidolakan kartunis tempatan Raja Hamzah yang terkenal kerana kisah-kisah kembara perwira Melayu.[10] Pengulas dan sejarawan seni Malaysia, Redza Piyadasa percaya bahawa zaman kanak-kanak Lat di kampung menanamkan rasa bangga dengan asal-usul kampungnya serta pandangannya yang "sangat kemelayuan" dan "lemah-lembut dan berbudi pekerti".[11]

Pendidikan formal Lat bermula di sebuah sekolah kampung yang mengajar dalam bahasa Melayu dan tidak mengharapkan pencapaian akademik.[12] Anak kampung ini bertukar sekolah berkali-kali disebabkan pekerjaan bapanya yang terpaksa berpindah sekeluarga dari satu pangkalan tentera ke pangkalan lain, sehingga mereka menetap di tempat lahirna pada tahun 1960.[13][14] Setahun kemudian, Lat lulus dalam Peperiksaan Special Malay Class dan layak untuk menghadiri sekolah asrama berpengantar bahasa Inggeris (National Type Primary School) di Ipoh.[2][15] Pencapaian Lat membantu bapanya membuat keputusan supaya menjual estet kampung mereka lalu berpindah sekeluarga ke ibu negeri;[16] masyarakat setempat pada zaman itu memandang tinggi pendidikan berpengantar bahasa Inggeris sebagai batu loncatan ke masa depan yang lebih cerah.[17][18] Lat menyambung pelajarannya di Sekolah Anderson,[19] "sekolah berpengantar bahasa Inggeris bukan mubaligh yang terulung" di Perak.[2][20] Redza menitikberatkan perpindahan Lat ke Ipoh demi pelajaran yang lebih tinggi sebagai detik yang terpenting dalam perkembangan kartunis ini; persekitaran yang berbilang kaum membantu Lat beramah mesra dengan rakan-rakan yang berbilang latar belakang, sekaligus meluaskan perspektif kebudayaannya.[21]

Sewaktu berusia 9 tahun, Lat mulai menamabah pendapatan keluarganya dengan memanfaatkan kemahiran seninya untuk melukis lalu menjual komik kepada rakan-rakannya.[2] Empat tahun kemudian, pada tahun 1964, kartunis muda ini menjayakan karya terbitan sulungnya, Majallah Filem, yang menyiarkan jalur-jaluran komik lukisan beliau, untuk dibayar dalam bentuk tiket wayang.[22] Buku komik terbitan sulung Lat, Tiga Sekawan Menangkap Pencuri, diterbitkan oleh Sinaran Brothers pada tahun itu juga. Syarikat itu menerima bahan-bahan yang diserahkan oleh Lat tanpa menyangkanya sebagai remaja lalu membayarnya $ 25 untuk satu cerita tentang tiga sekawan yang bersatu menangkap pencuri.[23] Pada tahun 1968, sewaktu berusia 17 tahun, Lat mula mengarang siri komik Keluarga Si Mamat untuk akhbar Berita Minggu (edisi Ahad Berita Harian). Siri tersebut tersiar dalam akhbar itu setiap minggu selama 26 tahun.[22] Walaupun masih di bangku sekolah, namun Lat sudah meraih pendapatan $100 sebulan, satu jumlah yang lumayan pada zaman itu, atas rekaan kartun-kartunnya.[22] Pendidikannya berkesudahan di akhir Tingkatan 5 sahaja dua tahun kemudian; Gred Ketiga yang diraihnya dari peperiksaan Senior Cambridge tidak memadai untuk beliau mara ke Tingkatan 6.[24] Sebagai lepasan sekolah menengah sahaja, Lat mula mencari pekerjaan dan meletakkan harapan tinggi untuk menjadi seorang pengilustrasi.[7]

Rujukan

WikiPedia: Lat http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Malaysia/... http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/St... http://www.asiaone.com/print/News/Latest+News/Show... http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C&pg=P... http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC&pg=P... http://books.google.com/books?id=IhrwflT-koMC